Monday 27 May 2013

Mencari Sebuah Kebenaran


Assalaamu'alaikum kawan-kawan..

Sebenarnya terdetik di hati ini, apabila saya perlu mengambil satu kursus dimana kursus ini sangat mencabar. Mencabar akal pemikiran kita, hati kita dan yang paling penting adalah keimanan kita. Fitrah manusia sesungguhnya ingin mencari suatu kebenaran. Kebenaran yang tidak akan ada pada mana-mana agama sekalipun kecuali satu iaitu Ad-Dinul Islam. Akan tetapi masih ramai dikalangan umat manusia yang tidak mendapat hidayah Allah malah yang menyedihkan adalah, orang Islam sendiri keluar daripada Islam dan menganut agama lain. Bagaimana pula dengan masyarakat Islam yang mempercayai pada agama lain dengan meminta pertolongan selain daripada Allah? Bukankah itu dikatakan syirik? 

Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah, bagaimanakah kita perlu berdepan dengan mereka? Apakah dialog yang perlu dibahaskan dengan mereka? Adakah kita akan mengikut emosi semata-mata ataupun mengikut segala fakta dengan mengeluarkan bukti-bukti yang telah tersedia ada di dalam al-Quran dan al-Hadith? Semakin ramai memeluk agama Islam dan semakin ramai juga yang keluar daripada agama Islam. Inilah masanya untuk kita mempersiapkan diri dan meletakkan niat agar dapat berdepan dengan mereka. Bukan untuk berdebat, akan tetapi untuk membantu mereka dalam mencari sebuah kebenaran.

Sepertimana yang dikatakan oleh Syeikh Yusuf Estet dalam salah satu forum beliau, perkara yang sering dicari-cari dan diinginkan oleh setiap orang (termasuklah dirinya) adalah lima perkara iaitu 'surrender, submission, obedience, sincerity and peace.' Dengan adanya kelima-lima perkara ini, maka kebenaran yang dicari pasti akan tercapai. 

Kita maklum bahawa al-Quran dan as-Sunnah merupakan dua perkara yang ditinggalkan kepada umat Islam agar sentiasa berpegang dengannya dalam menuju ke jalan yang benar. Apabila kebenaran Islam diperolehi, maka nikmat Islam dan Iman itu pasti hadir dalam diri setiap individu. Nikmat Islam inilah yang sebenarnya ingin disampaikan oleh Syeikh Yusuf Estet. Dimana apabila kita menyerahkan hati kita kepada Allah dengan beriman kepadaNya, kita pasti merasa yakin bahawa sesungguhnya Islam itu syumul dari pelbagai aspek. Sehingga Allah memberi ganjaran kepada mereka yang melakukan sekecil-kecil kebaikan.

Bagi membahaskan tentang cara bagaimana ingin berdepan dengan pelbagai cabaran yang dihadapi sekarang ini, kita perlu selidiki semula sejauh mana pengetahuan kita tentang Islam. Sejauh mana kita mengetahui tentang agama-agama lain yang wujud di dunia ini seperti agama Hindu, Buddha dan Kristian. Sejauh mana kita mengetahui pemahaman mereka terhadap agama-agama mereka sehingga kepercayaan mereka ini membuatkan mereka terpesong daripada ajaran yang sebenar?? Tidak ada salahnya jika kita ingin mengetahui tentang agma mereka. Kita boleh mengatakan bahawa Islam itu adalah universal dan global disebabkan agama Islam tersebar luas sehingga ke seluruh dunia. Akan tetapi, cuba kita fikirkan semula, jika dikatkan antara Islam itu sendiri dengan diri kita, adakah kita sudah cukup 'universal' dalam mengetahui agama lain? Adakah cara pemikiran kita sudah cukup 'universal' untuk berhadapan dengan masyarakat yang masih berfikiran global akibat pengaruh daripada unsur-unsur Barat? 

Terlalu banyak persoalan yang difikirkan. Terlalu banyak juga cara yang telah disediakan untuk kita menghadapi masyarakat yang emmepunyai pelbagai bentuk cara pemikiran. Sekarang, kita perlu bangun, dan bersuara. Tidak boleh lagi untuk berdiam, tidak boleh lagi menjadi seperti katak di bawah tempurung. Ayuh sahabat-sahabat sekalian!! Inilah medan jihad yang sebenar. Di dalam kelembutan, pasti ada ketegasan. Islam cukup tersebar luas dan sesungguhnya kitalah generasi Khalifah Fil Ard yang telah dihantarkan oleh Allah s.w.t.. Allahu'alam.

No comments:

Post a Comment